Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

1

BAYANGKAN JIKA seorang teman yang anda kasihi dan menghubungi anda menyatakan hasratnya ingin berkunjung ke rumah anda serta singgah untuk beberapa hari, apakah yang akan anda lakukan sempena kedatangannya dan apakah perasaan anda?

Tentunya anda gembira, menyediakan persediaan bagi menerima kunjungannya dengan mengemas rumah dan mengadakan keperluan yang sepatutnya bagi tetamu tersebut.

Bukankah begitu yang selayaknya anda dan teman-teman lakukan?

Jika demikian, bagaimana pula jika yang akan datang menjenguk anda bukan sahaja dikasihi oleh diri sendiri, bahkan ia dikasihi oleh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan sekelian orang yang beriman?

Tetamu yang akan berkunjung ini membawa bersamanya sepanjang siang dan malamnya kebaikan dan keberkatan daripada Allah. Ia adalah bulan Ramadan yang mulia, bulan berpuasa dan bertilawah al-Quran, bulan tahajud dan qiamullail, bulan kesabaran dan ketakwaan, bulan keampunan dan kebebasan daripada api neraka.

Padanya terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan pemasungan syaitan, penutupan pintu-pintu neraka dan pembukaan pintu-pintu syurga. Bulan gandaan pahala dan berkat untuk segala ketaatan dan kebaikan yang dilakukan.

Itulah sifatnya tetamu mulia ini, kerana itu amat wajarlah bagi kita – orang yang mengetahui kehebatannya, menyambutnya dengan cara terbaik, bersedia untuknya dengan menyiapkan dan membiasakan diri kita beramal padanya, moga-moga kita mendapat faedah daripada kunjungannya dan apabila ia pulang, jiwa raga kita telah bersih dan suci dengan limpahan rahmat Allah.

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.